KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melancarkan operasi membanteras penyeludupan sempena perayaan Deepavali di seluruh negeri ini. Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Yusoff, berkata operasi yang dinamakan Ops Deepavali 2016 bermula pada Khamis lalu sehingga 31 Oktober ini. “Operasi ini dianggotai 57 anggota dengan 40 daripadanya membuat pemantauan di darat manakala selebihnya bertindak sebagai kastam marin,” katanya selepas melancarkan pelepasan konvoi Ops Deepavali 2016 di Wisma Kastam Padang Bongor, di sini, hari ini.
Nasir berkata, antara kawasan yang akan diberikan tumpuan dari segi pemantauan serta operasi adalah di sekitar Pulau Tengkorak dan Pengkalan Kubor. “Tempat lain termasuklah di kawasan Tok Bali, Sungai Golok, sekitar Pantai Semerak dan Kuala Besar manakala operasi di darat kami akan tumpu di kawasan Bukit Bunga serta sempadan Kelantan-Terengganu. “Kami mengenal pasti ini adalah jalan yang sering digunakan oleh penyeludup untuk membawa masuk barang terlarang untuk diedarkan ke negeri lain. “Operasi ini akan diadakan 24 jam setiap hari kerana kami ingin penyeludup tahu yang Kastam sentiasa melakukan operasi bagi membanteras penyeludupan,” katanya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/198492
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.