MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberi fokus kepada penambahbaikan pematuhan penyampaian penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bermula tahun depan. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata pelaksanaan sistem percukaian terbabit yang memasuki tahun kedua pada April depan, kini berada pada tahap stabil walaupun jangkaannya mengambil masa antara tiga hingga empat tahun. Katanya, kesedaran peniaga turut meningkat apabila pematuhan GST negara dalam kalangan golongan berkenaan mencapai 97 peratus.

“Pada masa sama, kita akan mengkaji semula pematuhan pelaksanaan GST ini dari segi kualiti dan bukan dinilai berdasarkan kuantiti semata-mata. “Fokus akan diberi untuk melihat semula kualiti penyampaian ikrar penyata GST itu,” katanya. Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Kolaborasi Agensi Penguatkuasaan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Bukit Baru, di sini, hari ini. Khazali berkata, kesedaran peniaga turut menyumbang kepada sistem pembayaran GST yang ditambah baik sejak April lalu. Katanya, ia termasuk meningkatkan hubungan komunikasi dan kerjasama antara pihak jabatan dengan pembayar cukai seperti peniaga dan pengguna.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/220560