Cukai pelancongan mulai 1 September

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan cukai pelancongan berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, berdasarkan makluman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), cukai tersebut akan dikenakan pada kadar RM10 untuk setiap bilik bagi satu malam kepada pelancong yang menginap di mana-mana premis penginapan.

“Premis penginapan terlibat adalah seperti hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan dan lain-lain yang disediakan oleh pengendali premis penginapan tersebut.

“Bagaimanapun, kategori pelancongan yang dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan adalah rakyat Malaysia dan pemastautin tetap,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Merdeka Ride sempena ulang tahun ke-60 anjuran Pemuda MIC dan Kelab Motosikal Shadowfax di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

 Terdahulu, Mohamed Nazri bersama Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam melepaskan ekspedisi itu yang melibatkan enam ahli Kelab Motosikal Sha­dowfax yang akan merentasi enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, Bhutan, Nepal serta India sejauh 12,968 kilometer dalam tempoh 40 hari dan dijangka ber­akhir pada Hari Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, empat jenis pengendali premis penginapan akan dikecualikan daripada pendaftaran dan tidak akan mengenakan cukai pelancongan kepada pelancong yang menginap.

Premis penginapan tersebut adalah homestay dan kampungstay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, premis penginapan bagi tujuan keagamaan dan bukan komersial yang didaftarkan di bawah undang-undang bertulis serta premis penginapan yang mempunyai empat bilik atau kurang daripada itu.

Dalam masa sama, premis penginapan dikendalikan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri atau badan berkanun bagi tujuan pendidikan, latihan atau kebajikan serta penginapan sebagai kemudahan kepada kakitangannya turut dikecualikan daripada cukai tersebut.

Mohamed Nazri menjangkakan hasil pendapatan daripada pungutan cukai pelancongan itu mampu menjana sebanyak RM210 juta setahun.

Beliau berkata, pengendali premis penginapan boleh mendaftar secara dalam talian di portal cukai pelancongan www.myttx.custom.gov.my bermula hari ini.

“Pengendali premis penginapan atau orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan JKDM di talian 1-300-888-500 untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung cukai pelancongan ini,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cukai-pelancongan-mulai-1-september-1.512624

By | August 11th, 2017|0 Comments

Leave A Comment