IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.65 juta di tiga lokasi berasingan di Teluk Intan dan Ipoh.
Rampasan itu dilakukan di dua lokasi berbeza di Teluk Intan dan satu lokasi di Ipoh pada 24 Julai lalu hingga Jumaat lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah, berkata kes pertama membabitkan rampasan rokok putih bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dalam pemeriksaan sebuah lori ditinggalkan di tempat letak kenderaan di hentian rehat Batak Rabit, Batu Putih di Teluk Intan pada jam 5 pagi, 24 Julai lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 1.3 juta batang rokok putih disyaki barang larangan kastam dan pihaknya turut merampas lori berkenaan.
“Rampasan kedua membabitkan 407,200 rokok pelbagai jenama bernilai RM350,000 di sebuah rumah di Taman Impiana, Teluk Intan pada jam 12 tengah hari, 30 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Wahabi berkata, rampasan ketiga pula dilakukan di sebuah premis di Menglembu, Ipoh membabitkan minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM100,000 pada jam 10 pagi, Jumaat lalu.
“Pemeriksaan menemui kira-kira 1,033.24 liter minuman keras pelbagai jenama disyaki barang larangan kastam yang disimpan di ruangan rahsia di premis berkenaan.
“Seorang lelaki warga tempatan dan lelaki warga Pakistan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.