PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kayu merah bernilai RM6.3 juta di Pelabuhan Utara, dekat sini, pada Selasa lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata kejayaan itu selepas pemeriksaan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) terhadap sebuah kontena.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemukan barangan dagangan kayu merah yang dikrar sebagai ‘Others Household and Hand Tools’.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6.3 juta dengan berat dagangan adalah 11 tan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kayu merah atau nama saintifiknya Plerocarpus Santalinus diklasifikasi sebagai dagangan terancam mengikut Akta 686, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Katanya, ejen perkapalan yang terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesannya untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
Dalam kes berlainan, Abdul Latif berkata, JKDM juga turut mematahkan cubaan menyeludup minuman keras hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Utara, semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kontena berkenaan, pihaknya menemui satu jenis minuman keras dipercayai belum diluluskan kastam.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM108,000 membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan 21,600 liter, manakala jumlah duti cukai terbabit dianggarkan berjumlah RM613,440.
“Ejen perkapalan sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesannya untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.