PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) merampas kira-kira 27,500 liter air zam zam di sini, awal bulan lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan, berkata rampasan itu dianggarkan bernilai RM206,250 membabitkan cukai sebanyak RM66,000.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena mendapati dagangan yang disyaki dibawa adalah air zam zam dengan kuantiti dianggarkan kira-kira 27,500 liter.
“Siasatan mendapati, modus operandi kes ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan air zam zam dengan mengikrar dagangan sebagai jus dan air minuman di dalam daftar masuk.
“Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan daripada permit import semasa pengimportan dan bagi mengelak dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua air zam zam yang dirampas diimport dari Arab Saudi tanpa permit import sah dan tanpa membayar cukai serta duti ke atasnya.
Katanya, air zam zam diklasifikasikan sebagai barangan larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Perbuatan mengimport air zam zam tanpa permit import adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sabit kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.
“JKDM menyeru orang awam memberikan kerjasama menyalur maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/836977/isytihar-jus-tapi-seludup-air-zam-zam
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.