RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas mercun dan bunga api bernilai lebih RM243,000 dalam serbuan di Kampung Laloh, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kuala Krai, kelmarin.

Serbuan jam 7 petang oleh pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun.

Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud, berkata pihaknya mengesyaki sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai lebih 300 kotak berisi 8,700 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis di dalam lori berkenaan.

“Kesemua bunga api dan mercun terbabit bernilai lebih RM243,000 termasuk cukai dan ini adalah rampasan terbesar untuk tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mohd Rakbi berkata, penyeludup disyaki menyeludup masuk mercun dan bunga api dari Thailand melalui pengkalan haram.

Bekalan mercun dan bunga api yang dirampas itu dipercayai untuk dihantar ke luar Kelantan sempena Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/01/644704/mercun-bunga-api-bernilai-rm243000-dirampas