PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan penyeludupan rokok rentas sempadan bernilai RM2.14 juta membabitkan 30.6 juta batang rokok.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata cubaan berkenaan berjaya dipatahkan selepas pemeriksaan dilakukan oleh Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM terhadap enam kontena di Pelabuhan Utara, dekat sini pada Isnin lalu.

“Kesemua kontena ini tiba di Pelabuhan Utara, pada 5 Disember lalu dan hasil pemeriksaan dijalankan ke atas enam kontena itu, mendapati terdapat rokok putih berjenama dimuatkan di dalam kontena berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiada borang manifes sama ada untuk import mahupun pindah kapal (transhipment) diserahkan oleh nakhoda kapal atau ejen perkapalan bagi ketibaan dagangan ini seperti yang dikehendaki mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tiada dokumen perkapalan yang dapat menunjukkan kontena itu didaratkan untuk tujuan pindah kapal.

“Jumlah keseluruhan rokok yang ditahan dianggarkan berjumlah 30.6 juta batang yang dianggarkan bernilai RM2.14 juta dengan jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan sebanyak RM20.4 juta,” katanya.

Abdul Latif berkata, pihaknya giat menjalankan siasatan ke atas syarikat ejen perkapalan dan dalang di sebalik sindiket ini juga sedang dikesan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 52 (1) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

Jelasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/764090/cubaan-seludup-rokok-bernilai-rm214-juta-tumpas