Kastam Kelantan rampas kereta klon Singapura

RANTAU PANJANG 14 Julai – Kastam negeri ini merampas kira-kira 30 buah kereta klon Singapura yang diseludup masuk ke negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, antara jenis kereta klon yang telah dirampas ialah Audi, Honda dan BMW.

“Kereta klon Singapura ini merujuk kepada kenderaan yang tidak lagi diperlukan di negara berkenaan.

“Ia dijual dengan harga murah sekaligus membuatkan orang ramai terpesona dengan tawaran yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Perkasa Bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Rakbi memberitahu, bukan itu sahaja, aktiviti memalsukan dokumen turut dilakukan bagi menyakinkan lagi pembeli kereta klon.

Katanya, Kastam Kelantan mengambil serius perkara itu dan telah menubuhkan ‘pasukan khas’ bagi membanteras penyeludupan kereta klon Singapura dari masuk ke negeri ini.

“Kita sudah mengenalpasti ‘modus operandi’ yang digunakan oleh penyeludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Buat masa ini kita tidak boleh dedahkan modus operandi yang digunakan oleh penyeludup,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kastam-kelantan-rampas-kereta-klon-singapura-1.936550

By | July 16th, 2019|0 Comments

Leave A Comment