JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sebuah tongkang menyeludup 2,172 botol minuman keras bernilai RM19,404.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang Isnin lalu di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang itu, 10 awak-awak warga Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.
Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani, berkata kerjasama antara Pasukan Marin Kastam dan Maritim Malaysia itu akan diperluaskan lagi selepas ini bagi memastikan perairan negara bebas daripada penyeludupan.
“Pasukan Marin Kastam dan Maritim Malaysia menahan sebuah tongkang yang mencurigakan di kawasan Perairan Tanjung Penyusop dekat sini petang Isnin lalu.
“Hasil pemeriksaan di ruang kargo tongkang berkenaan menemui 2,712 botol arak yang disembunyikan di dalam kotak, bernilai RM19,404 dan nilai cukai dianggarkan berjumlah RM94,416.17.
“Semua 10 awak-awak warga Indonesia disambung reman mulai hari ini bagi siasatan lanjut, ” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid.
Kata Mohammad Hamiddan, Isnin lalu juga Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor membuat serbuan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di Taman Austin, dan menemui 1,200 atau 50 karton arak jenis bir bernilai RM3,000.
“Seorang warga tempatan berusia 40 tahun ditahan berikutan memiliki barang larangan dengan nilai cukai berjumlah RM18,496.80.
“Suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret, namun tidak mengaku bersalah manakala kenderaan MPV berkenaan dirampas sebagai barang kes,” katanya.
Mohammad Hamiddan berkata kes arak seludup menerusi tongkang disiasat di bawah Seksyen 49(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) manakala kes serbuan kenderaan mewah disiasat mengikut Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/09/609998/jkdm-maritim-malaysia-patah-cubaan-seludup-arak
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.