PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkenalkan Program Jaminan Pematuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Malaysia atau singkatannya, MyGCAP yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Program itu yang akan bermula pada suku kedua tahun ini, dilancarkan Najib yang juga Menteri Kewangan sempena majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di sini, hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada sidang media selepas majlis itu berkata sebagai permulaan, MyGCAP dibuka kepada syarikat berdaftar GST untuk memudahkan mereka membuat tuntutan bayaran balik GST.
“Ini membabitkan syarikat besar berdaftar GST, termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi memudahkan proses tuntutan bayaran balik GST.
“Kita akan melantik syarikat audit bebas dan melatih mereka untuk proses mengaudit serta memberi pensijilan kepada syarikat yang layak menyertai MyGCAP supaya lebih mudah membuat tuntutan bayaran balik GST, sekali gus memastikan urusan perniagaan dan aliran tunai syarikat tidak terjejas.
“Maknanya, kita memberi kebebasan kepada syarikat berkenaan menguruskan akaun GST dan pihak JKDM mungkin melakukan audit dua tahun sekali seperti yang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap pembayar cukai sekarang,” katanya.
Selain mengurangkan kerenah birokrasi dan pemantauan JKDM, beliau berkata, syarikat yang menyertai program MyGCAP dapat mengelakkan isu pembayaran lewat tuntutan semula GST bagi memastikan operasi perniagaan tidak terjejas.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/380162/mygcap-mudahkan-proses-tuntutan-semula-gst
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.