Kastam tumpaskan cubaan seludup rokok bernilai RM5.4 juta

SEREMBAN 2 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan dan Melaka menumpaskan cubaan menyeludup rokok dengan nilai dan cukai berjumlah RM5.4 juta, selepas menahan tiga lori di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, ketiga-tiga lori tiga tan itu ditahan di dua lokasi berlainan kira-kira 5 pagi dan merampas 7.4 juta batang rokok jenama U2.

“Sebuah lori kami tahan di KM188.4 dan menahan pemandunya manakala dua lori lagi kami tahan di KM201.8, bagaimanapun pemandunya berjaya melarikan diri.

“Kami percaya ketiga-tiga lori ini adalah daripada sindiket yang sama kerana mereka seperti berkonvoi selain menggunakan jenis lori dan jenama rokok yang sama,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan bot pancung dan memasuki jeti haram sebelum dipunggah menggunakan lori untuk pasaran tempatan.

“Dengan penahanan seorang suspek berusia 28 tahun ini, kami harap dapat jejaki sindiket ini. Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sebelum didakwa di mahkamah,” katanya.

Zulkifli berkata, kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967..

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kastam-tumpaskan-cubaan-seludup-rokok-bernilai-rm5-4-juta-1.721179

By |2018-08-03T10:32:47+08:00August 3rd, 2018|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top