SANDAKAN 3 Mac – Suasana Lapangan Terbang Sandakan di sini bertukar kecoh ekoran cubaan lima suspek membawa masuk dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta digagalkan apabila ditangkap oleh anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dibantu polis, kakitangan lapangan terbang dan orang awam pada Selasa lalu.
Kejadian tersebut menjadi tular di laman sosial Facebook apabila kelima-lima suspek berusia 19 hingga 26 tahun itu cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.
Menerusi beberapa keping gambar yang tular di laman sosial itu, kelihatan berlaku pergelutan seorang suspek berhampiran pintu keluar lapangan terbang tersebut manakala imej bagasi menunjukkan beg berisi dadah jenis syabu.
Ketua Pengarah JKDM, T. Subromaniam berkata, ketika kejadian kesemua suspek tempatan berasal dari Semenanjung itu baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) apabila tingkah laku mereka yang mencurigakan dikesan anggota JKDM bertugas.
“Anggota kami kemudian melakukan pemeriksaan dan mengimbas kesemua lima bagasi dibawa setiap suspek dan berjaya mengesan imej yang amat mencurigakan.
“Berikutan itu, suspek diarah ke pejabat JKDM di situ untuk pemeriksaan lanjut, namun kesemua mereka cuba melarikan diri tetapi gagal selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini hari ini.
Menurut Subromaniam, pemeriksaan terperinci ke atas kesemua bagasi itu berjaya menemukan bahan terlarang berkenaan dalam ketulan-ketulan berbentuk segi empat dan dibungkus menggunakan beberapa lapisan kertas karbon serta plastik untuk mengelak dikesan.
Katanya, kesemua suspek direman 12 hari sejak rabu lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, menurut beliau, JKDM akan memperketat kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk dan keluar bagi penerbangan domestik yang dipercayai menjadi pilihan terbaharu sindiket penyeludupan dadah ketika ini.
“Biasanya jumlah dadah yang banyak seperti ini dibawa masuk dari luar negara tetapi ini dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan domestik, jadi kami percaya sindiket dadah mula menukar cara mereka.
“JKDM akan memastikan pemeriksaan terhadap setiap penumpang domestik diperketatkan untuk menyekat sebarang aktiviti penyeludupan dadah,” tegasnya.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-kastam-tahan-lima-lelaki-seludup-syabu-rm5-6j-1.620277
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.