TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kelantan menjangkakan dapat mengurangkan 30 peratus kegiatan penyeludupan di sempadan negeri ini dan Thailand pada tahun ini menerusi operasi khas bersepadu, mulai esok.
Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Yusoff, berkata operasi khas bersepadu itu dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama empat agensi lain, iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM).
“Operasi bersepadu itu akan dijalankan selama dua minggu sehingga 22 Januari ini di beberapa lokasi panas yang sering digunakan penyeludup. Ia bertumpu di perairan sempadan Kelantan-Thailand terutama di sekitar Pulau Tengkorak dan Tak Bai.
“Laluan darat pula adalah sepanjang Jalan Kasban di Pengkalan Kubor. Dengan kekuatan 99 anggota dari lima agensi yang menggunakan tujuh bot serta kenderaan darat, risikan dan rondaan dilakukan bagi mengekang barangan keluar masuk,” katanya, di sini hari ini.
Mohd Nasir berkata, tumpuan akan diberikan kepada barangan kritikal seperti rokok, minuman keras, minyak masak serta petrol.
Selain sekatan jalan raya, katanya, jadual tugasan juga merangkumi pemeriksaan bot yang keluar masuk bagi memastikan ia tidak memasuki jeti haram di sepanjang laluan laut.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Kastam Kelantan merekodkan 42 kes membabitkan tangkapan dan rampasan pelbagai barangan dengan RM602,948.83 bersama cukai RM6.3 juta dan kompaun dikenakan sebanyak RM16,656.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.