ALOR SETAR: Kegiatan tiga lelaki yang sedang memindahkan sejumlah rokok putih seludup bernilai hampir RM1.6 juta ke dalam lori di sebuah rumah kedai di Kajang, Selangor, terbongkar apabila diserbu anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Sabtu lalu.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Johari Alifiah, berkata serbuan pada jam 10 malam itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan kegiatan penyeludupan rokok di kawasan Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang, sebelum intipan hampir seminggu dilakukan di kawasan itu.
“Ketika serbuan dilakukan, tiga suspek didapati sedang sibuk memunggah sejumlah karton rokok untuk dimasukkan ke dalam beberapa guni yang kemudiannya dimuatkan ke dalam sebuah lori yang berada di perkarangan premis.
“Suspek berusia 36, 44 dan 45 tahun itu kemudian ditahan dan pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka adalah warga Indonesia yang sudah mendapat status penduduk tetap manakala dua lagi adalah warga tempatan yang berasal dari Kuala Lumpur dan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Kedah, di sini, hari ini.
Johari berkata, pemeriksaan lanjut di premis dan lori berkenaan kemudian menjumpai sejumlah besar guni yang mempunyai karton rokok putih seludup berjumlah lebih dua juta batang.
“Kita percaya rokok ini cuba dihantar ke kedai runcit dan pasar raya sekitar negeri di utara dan dijual kepada pelanggan pada harga antara RM3 hingga RM4 sekotak.
“Rokok ini bukan rokok tiruan tetapi ia didapati menggunakan setem cukai palsu bertujuan bagi mengelak dari dikenakan cukai kastam,” katanya.
Johari berkata, semakan terhadap suspek itu mendapati mereka pernah mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah penyeludupan.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih daripada 40 kali ganda dari nilai barang atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/469836/kastam-kedah-rampas-rm16-juta-rokok-seludup
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.