KLANG 8 Mac – Kerajaan merancang untuk menambah lebih banyak mesin pengimbas kontena berteknologi tinggi di setiap pelabuhan utama di negara ini bagi mengekang kegiatan penyeludupan, sekali gus mempercepatkan proses pemeriksaan muatan kontena yang dibawa masuk ke Malaysia.
Rancangan itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, selepas beliau mengadakan mesyuarat rasmi bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang bertujuan mencari jalan meningkatkan kecekapan operasi pengendalian kontena di pelabuhan di negara ini.
“Di Pelabuhan Klang sebagai contoh, kita ada menerima rungutan daripada syarikat pengimport dan pengeksport yang mengatakan operasi pelabuhan ini kurang efisien kerana kita mengenakan pemantauan tegas hingga menjejaskan perniagaan mereka.
“Kita tidak nafikan penguatkuasaan yang dijalankan untuk membanteras penyeludupan serta kemasukan barangan larangan tanpa permit import dan kelulusan JKDM. Mungkin penguatkuasaan itu mengambil tempoh yang agak lama sehingga menyebabkan berlaku kelewatan.
“Bagaimanapun, kita akan menangani perkara ini dengan menambah lagi bilangan mesin pengimbas bagi mempercepatkan proses pemantauan dan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa masuk ke negara ini,” katanya di Wisma JKDM Selangor, Pulau Indah di sini hari ini.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.