KUCHING 5 Feb. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkenalkan Dasar Baharu Ejen untuk membendung pengikraran palsu dan mencegah penyeludupan barangan larangan atau berduti tinggi di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, dasar tersebut merupakan langkah drastik diambil berikutan banyak kes penyeludupan dan salah ikrar import serta eksport yang disiasat mendapati syarikat atau premis terlibat tidak wujud.
“Merekalah (ejen) yang berurusan dan bertindak sebagai orang tengah antara kastam dan pengimport atau pengeksport, maka sekiranya berlaku ikrar palsu, lesen mereka akan digantung selama enam bulan dan selepas itu dibatalkan.
“Sebanyak 31 syarikat ejen penghantaran telah digantung lesen kebenaran mereka sejak April tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Malaysia Ke-83 di sini pagi ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya; Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan GST); Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Pengarah Kastam negeri, Datin Sharifah Halimah Tuanku Taha. – UTUSAN ONLINE
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.