KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah mematahkan dua cubaan menyeludup dadah ke negeri ini apabila merampas syabu bernilai RM1.67 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau, Ahad lalu.
Kedua-dua rampasan disyaki daripada sindiket sama yang mana bahan terlarang itu dimasukkan ke dalam bungkusan teh, dipercayai untuk mengabui pihak berkuasa.
Curiga dengan gerak-gerinya, anggota Kastam melakukan pemeriksaan terhadap bagasi dibawanya menggunakan mesin imbasan sebelum mendapati imej mencurigakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Kastam, Datuk Zulkifli Yahya, berkata pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan syabu dengan berat keseluruhan 15.168 kilogram (kg) dalam bagasi terbabit.
“Susulan kejayaan itu, Kastam Sabah mengesan suspek kedua yang cuba menyeludup syabu seberat 15.227 kg melalui Lapangan Terbang Tawau pada jam 4.30 petang, hari sama.
“Kedua-dua lelaki ini dipercayai dari sindiket sama berdasarkan kepada modus operandi dan cara pembungkusan menggunakan plastik teh,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Sabah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Kastam Sabah, Datuk Hamzah Sundang.
Zulkifli berkata, kedua-dua suspek dikesan aktif masuk ke Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak 17 dan 11 kali sejak April tahun lalu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dadah yang diseludup bagi pasaran tempatan atau untuk dihantar ke negara jiran.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.
Beliau berkata, sehingga April tahun ini, Kastam Sabah mematahkan 11 kes cubaan menyeludup dadah melalui lapangan terbang dengan jumlah rampasan keseluruhan 148.5 kg membabitkan nilai RM7.91 juta.
Katanya, ini termasuk tiga cubaan menyeludup tujuh kg ganja menggunakan perkhidmatan pos di Kota Kinabalu dan Tawau membabitkan nilai RM19,600.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/411101/dadah-rm167j-dalam-bungkusan-teh-dirampas
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.