GST: Kastam yakin capai kutipan RM42b

SHAH ALAM 3 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kewangan supaya agensi itu mengutip sekurang-kurang­nya RM42 bilion hasil daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada tahun ini mampu dicapai.

Ketua Pengarahnya, Datuk T. Subromaniam berkata, sehingga 30 September lalu, pihaknya berjaya mengutip melebihi jumlah untuk tempoh sama bagi tahun lalu.

Menurutnya, JKDM turut melancarkan dasar baharu iaitu pematuhan melalui pendidikan dengan menempatkan pegawai­nya di persatuan dan dewan perniagaan bagi memastikan sasaran tersebut dapat dijayakan.

“Pada tahun lalu kita berjaya kutip RM41.2 bilion dan kita yakin sasaran RM42 bilion pada tahun ini akan dapat dicapai. Ini sejajar dengan prestasi kutipan kita setakat ini selain pengenalan dasar baharu yang menjadikan pegawai JKDM sebagai duta bagi membantu ahli persatuan perniagaan membuat pengikraran penyata GST-03 dengan betul,” katanya dalam sidang akhbar pada Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam SeMalaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subromaniam memberitahu, rancangan menempatkan pegawai JKDM di persatuan dan dewan perniagaan akan bermula pada 15 Oktober dan berakhir 31 Disember ini dan dijangka menyumbang tambahan RM1 bilion dalam tempoh berbaki tiga bulan lagi.

Katanya, program itu akan dimulakan di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat-pe­ringkat.

“Melalui program ini, persa­tuan atau dewan perniagaan akan mengumpulkan ahli-ahli mereka di satu tempat dan pegawai JKDM akan datang untuk membantu mereka dalam urusan GST.

“Mereka yang membuat ikrar akan dipertimbangkan untuk meremitkan penalti dan saya harap peluang ini dimanfaatkan kerana bermula Januari tahun depan, JKDM akan memulakan penguatkuasaan tegas ke atas syarikat yang degil,” ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gst-kastam-yakin-capai-kutipan-rm42b-1.533850

By |2017-10-14T09:04:21+08:00October 14th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top