SHAH ALAM – Empat syarikat dikenakan denda berjumlah RM72,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Empat syarikat itu adalah PND Injection Moulding Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya A. Venketramana, 53; German-Malaysian Institute (GMI)  diwakili pengarah urusannya Yusoff Md Sahir; Berjaya Sewerage Services Sdn Bhd diwakili pengarahnya M. Balakrishnan, 65, dan Ken Builders Sdn Bhd  diwakili pengarahnya Len Wai Ken, 43.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid memerintahkan PND Injection Moulding membayar denda RM20,000 bagi 15 pertuduhan yang dihadapi; GMI diperintah membayar RM10,000 bagi 15 pertuduhan yang dihadapi; Berjaya Sewerage Services diperintah membayar denda RM20,000 bagi 16 pertuduhan yang dihadapi dan Ken Builders diperintah membayar denda RM22,000 bagi 17 pertuduhan yang dihadapi.

Keempat-empat syarikat itu  membayar denda.

PND Injection Moulding didakwa sebagai orang kena cukai di bawah Akta GST 2014, gagal mengemukakan penyata terbabit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 30 Jun 2016 sebagaimana ditetapkan mengikut Seksyen 41(1) Akta GST 2014.

Pertuduhan ke atas GMI pula membabitkan tempoh bercukai dari 1 Mei 2015 hingga 30 Jun 2016 dan pertuduhan ke atas Berjaya Sewerage Services membabitkan tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 31 Julai 2016.

Sementara pertuduhan ke atas Ken Builders membabitkan tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 31 Ogos 2016.

Kesemua kesalahan dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dekat sini; cawangan Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini dan cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dekat sini, antara Jun 2015 dan September 2016.

Keempat-empat syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Sobirin Mohd Seman dan Haslelly Haimid sementara kesemua syarikat berkenaan tidak diwakili peguam. – Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/empat-syarikat-didenda-gagal-kemuka-penyata-gst-1.663031