JOHOR BAHRU: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) antara April 2015 hingga Jun 2016. Kedua-dua tertuduh, Mohd Dani Firdaus Sulaiman, 35, dan bapanya, Sulaiman Hussin, 61, yang juga pengarah sebuah syarikat kenderaan terpakai di Taman Maju, Batu Pahat, mengaku tidak bersalah ke atas semua 15 pertuduhan yang dibacakan. Dua beranak itu yang juga orang kena cukai mengikut Akta GST 2014 gagal mengemukakan penyata terbabit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 30 Jun 2016 seperti mana ditetapkan mengikut Seksyen 41(1) Akta GST 2014.
Kedua-duanya yang mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 41(6) Akta GST 2014 dan boleh dihukum mengikut seksyen dan akta yang sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau sehingga tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan. Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wan Arissa Wan Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.