KOTA BHARU: Kuarters dan pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Padang Bongor, di sini yang dihuni kira-kira 200 kakitangan dan pegawai menghadapi masalah bekalan air sejak empat bulan lalu. Berikutan itu, pegawai dan kakitangan terpaksa berulang alik ke stesen minyak atau masjid berhampiran untuk mendapatkan bekalan.
Penolong Kanan Pegawai Kastam I, Wan Apandi Wan Hassan, berkata masalah air sudah setahun menghantui mereka, namun semakin kritikal sejak Julai lalu. Katanya, selain kediaman, pejabat JKDM turut tidak mempunyai bekalan air sehingga menjejaskan tugas harian mereka selain membebankan anggota penguat kuasa yang bertugas. “Kami terpaksa berulang-alik ke masjid atau stesen minyak dan ini boleh mengganggu moral kakitangan yang sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas harian,” katanya ketika ditemui, hari ini. Sebelum ini,
BH melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu menghadapi masalah air selama dua minggu sehingga menjejaskan 100 penghuni di kuarters balai berkenaan. Sementara itu, Penguasa Kastam, Khairi Syazmi Yahya, 31, berkata ada juga anggota bertugas membawa air dari rumah untuk digunakan di pejabat agar tidak perlu keluar lebih kerap. “Kami sudah membuat aduan, namun masalah masih tidak selesai. Kami berharap keadaan itu diselesaikan segera untuk mengelakkannya terus menghantui semua kakitangan,” katanya.
Sumber: http://www.bharian.com.my/node/201522
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.