KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mengambil tindakan terhadap empat syarikat yang gagal melakukan pendaftaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negeri ini. Timbalan Pengarah (Ketua Bahagian GST) JKDM negeri, Radzi Muhamad, berkata pihaknya sudah membawa satu syarikat ke mahkamah dan dikenakan denda sebanyak RM5,000.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan tiga kes kompaun terhadap tiga syarikat dengan nilai kompaun RM15,000. “Empat syarikat ini melakukan kesalahan di bawah Seksyen 184 Akta CBP 2014 kerana lewat mendaftar GST” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah ‘Jom Minta Resit GST’ Siri 2/2016 di Dewan Mayang Bestari di sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 72 orang daripada 242 peserta dari negeri ini berjaya memenangi pelbagai hadiah dalam cabutan bertuah seperti telefon pintar Samsung Note 5 dan Galaxy, set televisyen dan baucar RM200. Radzi berkata, pihaknya juga mengambil 13 tindakan ke atas syarikat kerana kesalahan tidak mengeluarkan invois cukai mengikut Seksyen 33 Akta CBP 2014.

Katanya, nilai kompaun yang dikenakan atas kesalahan itu berjumlah RM65,000. “Kita sentiasa melakukan operasi mengesan peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan berkaitan GST. Malah, syarikat yang meraih pendapatan RM500,000 setahun, disarankan mendaftar GST dengan segera sebelum tindakan diambil. Hingga kini, sebanyak 7,036 syarikat di negeri ini sudah berdaftar.” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/186612