AWAS TONTO!

MUKADIMAH

HARI ini genap 100 hari Datuk T. Subromania m mengetuai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam pada 24 Mac lalu.

Sebagai seorang yang percaya dengan prinsip mencegah lebih baik daripada merawat, beliau menerapkan pendekatan pematuhan melalui pendidikan dalam polisi dan strateginya bagi memperkasakan jabatan tersebut.

Pendekatan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila JKDM berjaya memungut tambahan cukai GST sebanyak RM200 juta dalam tempoh tiga minggu dan dijangkakan tambahan RM1 bilion akan dikutip dalam tempoh tiga bulan. 

Pada masa sama, beliau menegaskan agensi penguatkuasaan itu tidak akan memberi muka kepada tonto dan bertindak balas sekiranya diancam.

Ikuti temu bual antara Subromaniam dengan wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUN IZAR AHMAD TERMIZI, ZULQURNAIN OT HMAN dan jurugambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN di pejabat beliau di Putrajaya, baru-baru ini.

MINGGUAN: Selepas 100 hari dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam, bagaimana Datuk melihat pencapaian jabatan ini?

SUBROMANIAM: Saya agak bangga dalam masa yang singkat ini, kita dapat pungut hasil yang betul-betul kita banggakan. Sebagai contoh, antara langkah yang saya ambil ialah berkenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Setakat ini, kita sudah ada 444,000 syarikat berdaftar dengan GST.

Daripada angka itu, kita dapati 62,000 menghantar penyata yang meragukan. Kalau hendak pergi semak, audit dan siasat satu persatu, ia akan mengambil masa mungkin bertahun-tahun.

Jadi, kita hantar notis peringatan mesra ke 62,000 syarikat ini. Itu baru fasa pertama dan ada lagi selepas ini. Daripada sistem kita boleh tahu ada yang tidak kena dari segi pengikraran dan bayaran yang dibuat oleh syarikat ini. Kita hantar notis peringatan menyatakan syarikat tuan tidak mengemukakan penyata yang benar. Sila semak semula, dan buat pembetulan dan buat bayaran yang sebenar. Kita bagi tempoh tiga bulan.

Sekarang baru tiga minggu sejak kita beri notis itu, sudah ada syarikat ikrar dan buat bayaran semula. Kita sudah pungut tambahan RM200 juta. Saya jangka dalam masa tiga bulan, kita boleh pungut RM1 bilion.

Yang tidak hantar penyata dalam tempoh tiga bulan nanti, kita akan siasat dan audit. Yang itu tiada maaf bagimu. Kita akan ambil tindakan drastik dan tegas. Kita mula dengan pendekatan mesra dahulu dan beri peluang.

Saya rasa strategi baharu ini akan membawa hasil lumayan kepada kerajaan. Ini adalah pematuhan melalui pendidikan. Yang tidak ikut barulah kita menggunakan pendekatan pematuhan melalui penguatkuasaan.

Bagaimana persepsi atau penerimaan warga JKDM terhadap polisi dan hala tuju yang Datuk perkenalkan sejak mula memegang tampuk jabatan?

SUBROMANIAM: Amat baik. Bagi saya JKDM mempunyai warga yang hebat walaupun ada segelintir pegawai yang ada masalah. Bila saya kata masalah, ia melibatkan pegawai yang integritinya boleh dipersoal.

Tapi rata-rata adalah pegawai adalah jujur dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Saya hendak fokus kepada pegawai-pegawai yang ramai ini kerana mereka adalah tonggak kepada jabatan. Penerimaannya sangat baik sekali sebab ia dapat dilihat pada jumlah pengutan hasil. Sekarang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sudah ada tambahan hampir RM2.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Saya rasa peningkatan kutipan hasil ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh perubahan polisi. Faktor kedua ialah kerana pematuhan. Sebagai contoh, banyak prosedur kita sebelum ini tidak mantap. Kita kadang-kadang buat tugas itu, kita teruskan amalan lama.

Kadang-kadang kita perlu ambil satu langkah ke belakang dan tengok balik apa yang tidak kena dengan sistem kita. Sebagai contoh, penyeludupan agak berleluasa. Kita penat mengejar. Banyak kes tapi bolehkah kita bangga dengan kejayaan tangkapan ini? Ini ibarat kita lepaskan (buka) kandang, lepas itu pergi tangkap seekor demi seekor. Memang banyak kes. Saya kata ambil langkah ke belakang dan tengok balik dan tutuplah kandang itu.

Apakah antara kelemahan tersebut yang menyebabkan penyeludupan sukar dibendung?

SUBROMANIAM: Satu perkara yang saya lihat ialah dari segi maklumat kastam yang ada, kita tidak buat pengesahan syarikat pengimport yang berdaftar dengan kastam. Ada syarikat yang kita kata fly by night. Syarikat ini didaftar dan boleh import dan seludup. Bila kita siasat, syarikat ada tapi orangnya (nama pemilik) salah. Dia boleh daftar guna nama orang lain atau gunakan syarikat orang lain.

Jadi, sekarang apa yang kita buat antaranya ialah kawalan ejen. Untuk urusan perkastaman, ada ejen penghantaran. Mereka ialah orang tengah antara kastam dengan pengimport. Kita perlu kawal ejen-ejen ini.

Pada 1 Mac lalu, kita sudah perkenal sistem demerit ejen. Pada masa itu, saya Timbalan Ketua Pengarah Kastam. Sekarang kita perhebatkan lagi sistem demerit itu. Sebab ejen ini sebenarnya dia tahu siapa pengimport sebab urusan pelepasan barangan, dia akan dapat bayaran. Mana boleh dia kata dia tak tahu siapa import.

Sekarang kita buat satu tapisan ejen-ejen penghantaran ini bagi memastikan mereka yang berurusan dengan kita adalah syarikat yang benar-benar sahih. Ini juga untuk memastikan aspek keselamatan. Kita pernah dapat kes dadah dibawa dalam kontena. Tapi bila siasat, syarikat palsu dan tidak wujud.

Saya fokus kepada proses dan prosedur. Kalau tidak perkara ini akan terus berlarutan. Harapan saya nanti, bila kita mantapkan proses dan prosedur melalui Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), ia akan memantapkan lagi kawalan dan secara tidak langsung akan meningkatkan hasil pendapatan negara.

Penyeludupan juga mungkin berlaku kerana penglibatan orang dalam JKDM sendiri. Apakah usaha Datuk bagi menangani hal ini?

SUBROMANIAM: Memang saya tidak nafikan, memang ada. Ibarat pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Ramai daripada pegawai kita jujur, amanah dan berintegriti tinggi.

Bagi menangani masalah ini, saya akan memperkenalkan Ujian Psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP) nanti. Ia akan dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) tidak lama lagi. Ujian tersebut menggunakan perisian alat penilaian integriti (IAT) yang dibangunkan dengan kerjasama MIMOS.

JKDM adalah agensi penguatkuasaan pertama yang akan melakukan ujian MIP. Ini merupakan projek perintis. Buat permulaan kita akan perkenalkan sistem ini kepada pegawai-pegawai yang baru diambil bekerja bagi menilai tahap integriti mereka. Ini akan memudahkan JKDM membuat penempatan pegawai tersebut kerana kita sudah tahu profil integriti mereka. Dengan ini, kita boleh tahu pegawai mana yang sesuai ditugaskan di tempat-tempat yang ‘panas’. Kemudian, kita akan perluaskan ujian ini kepada pegawai-pegawai yang sudah bekerja.

Satu lagi cara yang saya gunakan ialah mengadakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melaksanakan program-program pemantapan integriti. Ia terbuka kepada semua warga termasuk Islam dan bukan Islam.

Kita akui memang banyak ketirisan hasil tetapi kita perlu buat sesuatu dan untuk buat sesuatu itu, kita perlu akui ada kelemahan pada kita. Kalau kita tidak akui ada kelemahan, kita tidak akan ambil tindakan-tindakan pembetulan.

Kita kena ambil tindakan-tindakan korektif. Kalau sudah terlambat, kita hanya mengambil tindakan punitif. Saya lebih percaya kepada tindakan korektif daripada mengambil tindakan punitif. Memang tindakan punitif pun kita ambil tetapi sudah terlewat.

JKDM adalah agensi penguatkuasa pertama akan mengambil ujian MIP itu dan ia adalah atas inisiatif Datuk sendiri. Apakah yang mendorong Datuk berbuat demikian?

SUBROMANIAM: Saya melihat ini sebagai satu perkara yang positif. Sebab ada pegawai-pegawai baharu yang rasa tidak bersalah apabila diberi hadiah, padahal mengikut integriti, itu tidak boleh kerana bukan hak kita.

Jadi, ini adalah satu kaedah yang sesuai kerana kita sudah tahu tahap integriti mereka. Begitu juga dengan pegawai-pegawai di pintu masuk negara, kadang-kadang bukan jenis ambil duit tapi mereka lepaskan. Tengok bapa saudara bawa sekampit beras untuk makan sendiri, dia lepaskan. Kita perlu jadi profesional.

Tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada JKDM mesti dilaksanakan. Kita tidak ada kuasa lain. Kalau hendak beri kuasa, kena mendapat kelulusan daripada peringkat tertentu. Jangan buat keputusan sendiri untuk melepaskan (penyeludup). Bila dia (penyeludup) bermula di situ, kemudian bawa dua guni dan selepas itu selori.

Saya adalah Pengerusi Lembaga Tatatertib jabatan ini. Ada banyak kes kita buang kerja pegawai yang tidak ada integriti. Baru-baru ini ada kes sijil cuti sakit palsu dan kita buang kerja terus.

Ini tidak boleh diterima sebab kerajaan beri tanggungjawab kepada kita untuk pungut cukai. Kita memang toleransi sifar kalau hal-hal berkaitan integriti. Saya amat memberi penekanan kepada perkara ini.

Tonto juga merupakan satu ancaman serius kepada pegawai kastam dalam menjalankan tugas. Mungkin kastam mempunyai strategi bagi berhadapan dengan tonto?

SUBROMANIAM: Saya sudah dapatkan 80 trak pikap Isuzu D-Max untuk melawan tonto. Kita pernah hilang nyawa pegawai di Kelantan akibat dilanggar tonto. Polis siasat sampai hari ini tak tahu apa jadi.

Bayangkan orang hilang nyawa sebab jalankan tugas. Sebab tugas kastam ini tidak seperti agensi kerajaan lain. Ia sama seperti polis.

Kenderaan yang kita dapat itu sudah siap diubahsuai dengan dilengkapi perisai dan kamera video. Dalam seminggu dua selepas Aidilfitri, kita akan lancarkan. Kalau tonto hendak langgar, marilah. Sampai bila kita hendak beri muka?

Memang kita akan bertindak tegas selepas ini. Sebab sebagai agensi penguatkuasa, kita tidak perlu takut untuk menjalankan tugas.

Saya juga tempatkan pegawai-pegawai bersenjata di pintu masuk utama. Sebenarnya itu adalah surat pertama yang saya tandatangan selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam.

Satu lagi kita telah berbincang dengan polis, kita akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) untuk tangkap tonto yang berkeliaran. Kita pastikan aspek keselamatan pegawai dijaga.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tentang pengkorporatan JKDM. Bagaimanakah perkembangan sekarang dan harapan Datuk apabila JKDM dilembagakan kelak?

SUBROMANIAM: Kita perlukan perubahan pola pemikiran.Pengkorporatan itu sebenarnya untuk memberikan rasa memiliki. Kamu rasa sebagai sebahagian daripada JKDM dan seperti satu keluarga. Itu yang menjadi satu penanda aras yang memberikan satu lonjakan dari segi pungutan hasil, contohnya.

Saya jangka kalau dikorporatkan kutipan hasil pasti akan melonjak. Apabila dikorporatkan, biasanya kita diberikan satu insentif dari segi emolumen. Kalau pegawai kerajaan, tidak dapat insentif macam itu. Sebab itu, hasrat Perdana Menteri untuk mengkorporatkan JKDM, pandangan beliau begitu jauh.

Memang terbukti apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dikorporatkan dan insentif itu bergantung kepada prestasi. Jadi bagaimana untuk mencapai prestasi lebih tinggi?

Kerja kuat, integriti tinggi dan pungut hasil lebih. Kalau duduk dalam kerajaan agak sukar. Kalau beri kepada kastam, orang lain minta juga. Jadi orang lain dapat RM500, kita pun dapat RM500.

Saya rasa pegawai-pegawai yang mahir ini tidak dapat diberikan ganjaran yang sewajarnya kerana kita masih lagi jabatan kerajaan penuh. Lainlah kalau dikorporatkan.

Kadang-kadang ada sedikit rintihan sebab agensi percukaian satu lagi itu dapat bonus tiga hingga empat bulan gaji. Jadi, lagi cepat JKDM dikorporatkan lagi bagus.

Tetapi kita tidak boleh tengok aspek itu sahaja. Bila dikorporatkan kalau kastam dapat tambah hasil contohnya RM10 bilion, hasil itu pergi kepada rakyat juga.

Yang kedua, pengkorporatan akan memberikan sedikit kelebihan dari segi pengambilan dan pemecatan pegawai. Sebab sekarang, kena mohon dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan ini mengambil masa.

Sebagai contoh, sekarang kita ada 700 jawatan kosong. Tetapi hendak tunggu dapat kelulusan, kemudian buat pengiklanan, proses temuduga dan tunggu keputusan, proses itu lambat. Tetapi kalau dikorporatkan nanti, lembaga sahaja boleh buat temuduga terus dan proses itu dipendekkan.

Begitu juga untuk mengambil tindakan-tindakan tatatertib, lembaga boleh bertindak. Dalam lembaga itu akan ada wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai wakil kerajaan.

Bagaimana Datuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga dengan jadual harian yang padat sejak memegang jawatan Ketua Pengarah Kastam?

SUBROMANIAM: Kerja saya memang memenatkan. Biasanya hari Sabtu saya datang ke pejabat dengan membawa keluarga. Biasanya keluarga akan membeli-belah di sekitar Putrajaya. Selesai sahaja tugas saya mungkin sekerat hari, kemudian saya menyertai keluarga untuk bermain boling.

Itupun bukan setiap minggu. Hari bekerja memang tidak ada masa sebab balik pun sudah lewat malam dan saya banyak melawat ke negeri-negeri untuk melihat isu dan bercakap dengan warga kastam.

Tapi saya balik lewat malam pun tidak rasa penat sebab sokongan daripada pegawai-pegawai kastam. Jadi, biasanya pada hari Sabtu atau Ahad, saya cuba ambil kesempatan sedikit untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/awas-tonto-1.497976

By |2017-07-02T14:06:43+08:00July 2nd, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top