KUCHING: Sejumlah 980,400 batang rokok pelbagai jenama dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah bangunan kedai terbiar tidak bernombor di Jalan Penrissen, di sini, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata rampasan itu membabitkan anggaran nilai sebanyak RM88,236 dan jumlah cukai sebanyak RM655,887.60.

Beliau berkata, serbuan itu dilancarkan sepasukan anggota kastam dari Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya, pasukan serbuan menemui hampir sejuta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki belum lulus JKDM,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah berkata, semua rokok itu telah disita dan dibawa ke stor Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.

Menurutnya, bangunan kedai terbiar itu digunakan sebagai tempat stor penyimpanan barangan itu.

Katanya, rokok itu dipercayai untuk edaran dan untuk pasaran tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika didapati bersalah, individu akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/01/644535/kastam-perhebat-tindakan-tangani-rokok-seludup