Tutup semua lubang ruang, peluang rasuah

Syabas diucapkan kepada Ja­batan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Selepas menjadi agensi penguat kuasa pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), jabatan itu turut menjadi yang pertama mewajibkan 14,000 anggota serta pegawainya di seluruh negara menduduki Ujian Kaedah Penilaian Integriti atau Integriti Assesment Tools (IAT).

Sebelum ini, JKDM telah pun mewujudkan mekanisme pe­ngurusan risiko rasuah (CRM) untuk memantapkan prosedur kerja mereka supaya ruang dan peluang untuk berlakunya salah guna kuasa dan rasuah dapat dikurangkan.

Inisiatif seumpama ini harus dipuji dan wajar diikuti agensi-agensi penguat kuasa lain. Manakan tidak, golongan pe­nguat kuasa sering dilabelkan negatif oleh masyarakat akibat perbuatan rasuah walaupun ia dilakukan segelintir pihak.

Pandangan negatif sebegini tidak harus dipersalahkan. Ini kerana tugas pasukan penguat kuasa mudah terdedah de­ngan gejala itu. Merekalah orang per­tama yang akan mengekang atau menjadi tali barut terhadap segala kegiatan jenayah yang berlaku di negara ini.

Lebih-lebih lagi mereka yang menjaga di pintu-pintu masuk utama negara. Kita boleh lihat impak buruk kepada rakyat jika jenayah bolos akibat perbuatan salah laku dalam kalangan pe­nguat kuasa.

Keadaan itu sudah tentunya memberikan kerugian kepada pendapatan negara secara keseluruhannya. Sebab itu, pentingnya langkah untuk membanteras perbuatan tidak bermoral itu sejak dari awal.

Selain melaksanakan IAT, mereka boleh melakukan kaedah Profil Integriti Malaysia (MIP), iaitu satu mekanisme yang dibangunkan oleh Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama MIMOS Berhad sebagai penilaian psikometrik berasaskan kertas ujian atau talian untuk menilai sama ada pemohon dan pekerja sedia ada boleh dipercayai untuk bertindak dengan berintegriti demi kepentingan organisasi.

Pelan intervensi integriti juga boleh dilaksanakan. Ia bertujuan membantu organi­sasi membangunkan strategi integriti korporat sendiri secara menyeluruh. Pendekatan itu akan membantu meningkatkan akauntabiliti dengan memfokuskan kepada ketelusan dan outcome (hasil) yang disasarkan.

Mana-mana organisasi juga boleh memilih kaedah penggunaan alat uji bohong atau poligraf sebagaimana yang disarankan Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek. Kaedah itu boleh digunakan sebagai pencegahan untuk menangani gejala rasuah atau menentukan sama ada seseorang itu benar atau berbohong dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kata Abdul Halim, mekanis­me itu juga amat membantu dalam memastikan setiap pe­kerja lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas dan tidak memperlekehkan amanah yang diberikan. Ia telah pun dilaksanakan sebagai amalan biasa di negara luar seperti di Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

“Dalam pentadbiran kerajaan contohnya, sikap integriti amat penting dalam menjaga kerahsiaan negara. Kita tidak mahu pentadbiran negara mudah diperdaya dengan pujuk rayu orang luar sehingga sanggup menggadaikan negara,” katanya.

Apa pun, segala kaedah itu tidak memberikan kesan kalau hanya tertulis di atas kertas. Jangan sekadar berikrar, tetapi tidak mengotakan apa yang diucapkan. Jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan integriti, Malaysia boleh membaiki kedudukan lebih baik berban­ding di tangga ke-55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tutup-semua-lubang-ruang-peluang-rasuah-1.511965

By | August 11th, 2017|0 Comments

Leave A Comment