Penyeludupan sisik tenggiling terbesar bernilai RM9.18 juta ditumpaskan

SEPANG 8 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan kes penyeludupan sisik tenggiling seberat 712 kilogram (kg) yang bernilai RM9.18 juta dalam dua kes berasingan di KLIA di sini minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd. Halim berkata, dalam kes pertama, pihaknya berjaya merampas sebanyak 408 kg sisik tenggiling bernilai anggaran RM5.27 juta yang cuba diseludup melalui Kastam Kargo KLIA pada 1 Mei lalu.

Beliau berkata, kesemua barang larangan import itu tiba melalui penerbangan Emirates Airline dari Accra, Ghana yang transit dari Dubai ke KLIA.

“Kesemua barang seludup ini diletakkan dalam lapan guni. Hasil pemeriksaan menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas itu dicatat sebagai ‘general product’ dan alamat digunakan adalah palsu.

“Bagi kes kedua pula, kita berjaya merampas sisik tenggiling seberat 304 kg bernilai RM3.92 juta yang tiba melalui penerbangan Kenya Airways dari Kinshasa, Congo ke Nairobi, Kenya dan kemudiannya transit ke Dubai melalui penerbangan Emirates Airline ke KLIA pada 2 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Paddy, kes rampasan tersebut merupakan yang terbesar pernah direkodkan setakat ini oleh JKDM.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihaknya masih menyiasat dengan lebih lanjut kerana dalam kedua-dua kes penyeludup menggunakan alamat palsu. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/penyeludupan-sisik-tenggiling-terbesar-bernilai-rm9-18-juta-ditumpaskan-1.478839

By |2017-05-09T21:15:22+08:00May 9th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top