KUALA LUMPUR: Sebanyak 37,556 kompaun dikeluarkan bagi tempoh 1 April 2015 hingga 17 Februari lalu kepada syarikat, selaras pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Menteri Kewangan berkata, Johor mencatat bilangan pengeluaran kompaun tertinggi iaitu sebanyak 8,104, diikuti Wilayah Persekutuan dengan 5,036 kompaun manakala 4,707 kompaun direkodkan bagi Selangor.

“Kompaun dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meliputi kesalahan berkaitan mempamerkan harga barangan, invois, kegagalan menghantar penyata dan membayar GST serta pendaftaran GST,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat, hari ini. Teck Hwa meminta Menteri Kewangan menjelaskan jumlah syarikat sudah melaksanakan GST dan syarikat yang dikenakan kompaun. Sehingga 21 Februari lalu, Menteri Kewangan berkata, sebanyak 435,809 entiti termasuk syarikat sudah berdaftar dalam sistem GST dengan JKDM.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/257435