Dalang utama tipu tuntutan GST ditahan

PUTRAJAYA 29 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan dalang utama yang disyaki terlibat dalam penipuan tuntutan ‘pulangan balik’ atau refund melalui penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dianggarkan bernilai hampir RM25.58 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, ini menjadikannya sebagai kes terbesar melibatkan tuntutan pulang balik GST setakat ini.

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan berumur dalam lingkungan 50-an telah ditahan pada 25 Ogos lalu di Ipoh, Perak manakala isterinya berumur dalam lingkungan 40-an ditahan di Bandar Baru Seri Peta­ling, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.

“Suspek utama telah ditahan bersama wang tunai berjumlah RM200,000 dan pelbagai mata wang asing manakala isteri suspek ditahan bersama wang bernilai RM182,000.

“Akaun bank milik kedua-dua suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Subromaniam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 89(1)(b) Akta GST iaitu membuat apa-apa pernyataan atau catat­an palsu dalam mana-mana penyata.

Jika disabit kesalahan, katanya, bagi kesalahan pertama, suspek boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai atau dipenjarakan selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh esok bagi tujuan pendakwaan.

Jelas beliau, penahanan suspek-suspek adalah hasil daripada siasatan pihaknya sejak beberapa bulan lalu menerusi sistem pengurusan risiko canggih yang membolehkan pengesanan tuntutan-tuntutan palsu.

Kata beliau, sekiranya terdapat fakta tidak kukuh dan tidak mencerminkan tuntutan sebenar, pihaknya akan dapat mengesannya.

“Kita juga percaya beberapa lagi orang turut terlibat termasuk mereka yang diperdayakan pasangan terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Subromaniam turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali melakukan tuntutan balik palsu jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan GST pada tahun ini dijangka me­ningkat berban­ding tahun lalu eko­ran per­tum­buhan ekonomi.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dalang-utama-tipu-tuntutan-gst-ditahan-1.520848

By |2017-08-30T11:22:43+08:00August 30th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top