KOTA BHARU: Satu prosedur operasi standard (SOP) mengenai penggunaan senjata api yang membenarkan pegawai penguat kuasa melepaskan tembakan terhadap penjenayah, akan dirangka dalam masa terdekat, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali. Mohamad Apandi berkata, SOP yang ada kini tidak jelas sehingga pegawai penguat kuasa teragak-agak untuk melepaskan tembakan.

“SOP sekarang tidak jelas yang hanya menyatakan untuk pertahan diri saja termasuk untuk Pengawai Penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). “Saya akan pelopori tindakan untuk berbincang dengan Ketua Pengarah JKDM dan akan arahkan Bahagian Pencegahan (Kastam) dengan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Bahagian Penasihat Undang-undang mengenai penggunaan senjata api oleh pegawai penguatkuasa.

“Kita akan rangka satu SOP baharu dan lebih tepat dan berkesan dalam peraturan penggunaan senjata api supaya pegawai penguat kuasa tidak teragak-agak untuk mengguna senjata api. “Tidak guna kalau ada senjata api tapi takut nak guna. Simpan rumahlah,” katanya kepada sidang media selepas majlis ramah mesra JKDM Kelantan bersama Peguam Negara, di Ibu Pejabat JKDM di sini, hari ini. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada suami Anisah Ali, Pegawai Kastam Kanan, Mohd Baharuddin Hamid. Turut hadir, Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusoff. Anisah yang juga Pegawai JKDM Rantau Panjang, maut ketika menjalankan tugas selepas kenderaan dinaiki bersama dua rakan dirempuh tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, Oktober lalu.

Mohamad Apandi berkata, SOP baharu untuk pegawai penguat kuasa agensi kerajaan itu akan dilaksanakan secepat mungkin yang merangkumi JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sehubungan itu, katanya, sehingga SOP baharu dikeluarkan, semua pegawai agensi penguat kuasa boleh melepaskan tembakan terhadap penjenayah jika keselamatan dan nyawa mereka terancam.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/212750