KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut 115 kotak rokok tidak sah bernilai lebih RM40,000, pada 19 Januari lalu. Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh B Nesa Gandh, 35, yang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membawa barangan larangan itu dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini menggunakan sebuah lori jenis Isuzu, sebelum berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri dalam serbuan di Plaza Tol Gemuruh, di sini. Lelaki itu kemudian ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, jam 8.30 malam. Dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM805,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Terengganu, Mohd Redzuan Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syahri Adnan.

Sumber: www.bharian.com.my/node/185272