JOHOR BAHRU: Malaysia dan Indonesia terus memperkukuhkan kerjasama membanteras aktiviti penyeludupan merentasi sempadan menerusi Operasi Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia Indonesia (PATKOR KASTIMA). Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata operasi PATKOR KASTIMA 22A kali ini bertumpu kepada perairan Selat Melaka bermula dari Kuala Perlis, Perlis hingga ke Sungai Pulai, Johor membabitkan keluasan kira-kira 1,200 kilometer.

Beliau berkata, operasi selama dua minggu bermula semalam, membabitkan kekuatan seramai 100 pegawai dan anggota dari JKDM serta Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Republik Indonesia menggunakan 16 aset marin. “Operasi berkenaan yang diadakan secara tahunan sejak tahun 1994 adalah kerjasama antara JKDM dan DJBC dalam membanteras kegiatan pelanggaran undang-undang di laut dan menjamin keselamatan serta keamanan di perairan masing-masing.

“Selain membanteras penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia, operasi ini juga turut bertumpu dalam membanteras keganasan khususnya penyeludupan senjata api,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Perasmian Operasi PATKOR KASTIMA 22A 2016 di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah dekat sini, hari ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/190559