SEREMBAN – “Sebanyak 21 syarikat sedang disiasat manakala tiga syarikat telah didakwa dan dihukum di mahkamah berkaitan kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 setakat ini,” kata Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan Datuk Abdullah Jaafar.

Beliau berkata, kesalahan dilakukan tiga syarikat terbabit ialah gagal menghantar penyata GST dan membuat tuntutan GST yang tidak betul.

“Terdapat 21 lagi syarikat dalam proses siasatan untuk didakwa di mahkamah atas kesalahan tidak membayar GST dan juga kesalahan tidak menghantar penyata GST,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan setakat ini terdapat 12,940 peniaga yang telah berdaftar di bawah GST dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan mereka yang belum berdaftar.

Katanya, kefahaman orang ramai dan peniaga mengenai GST kini semakin meningkat.

“Dalam tempoh enam bulan ini, aduan yang kastam terima didapati berkurangan, berbanding permulaan pelaksanaan GST pada 1 April 2015. Ini bermakna kefahaman masyarakat mengenai GST semakin meningkat,” katanya. – Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/gst-21-syarikat-disiasat-tiga-dihukum-1.556662